Paru-parunya bocor dan bahagian yang bocor itu terpaksa dibuang. Memang mengerikan, namun itu yang harus diterima Muhammad Aidelhan Surjonoh, 28, akibat merokok.
Pemuda yang tinggal di Kluang itu berkata, semuanya bermula dengan sesak nafas pada 24 Februari lalu.
“Mula-mula saya sesak nafas. Pergi ke klinik di Kluang, dan doktor kata mungkin gastrik atau otot tegang, tetapi selepas beberapa hari, keadaan saya masih belum pulih.
“Kemudian saya ke Hospital Pantai Batu Pahat dan sempat jalani pembedahan untuk keluarkan angin dalam paru-paru, tetapi masih tidak pulih. Apabila buat imbasan CT, doktor dapati paru-paru saya bocor.
“Hospital itu minta saya rujuk ke Hospital Mahkota, Melaka. Di situ, saya jalani pembedahan untuk menampal paru-paru yang bocor. Malangnya kaedah itu tidak berjaya dan doktor sarankan bahagian bocor sebesar lima sentimeter dibuang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Selepas hampir sebulan menjalani pembedahan terbabit, Aidelhan yang sebelum ini aktif bersukan berkata, dia masih belum pulih sepenuhnya dan tidak boleh menarik nafas dalam.
“Keadaan saya semakin baik, tetapi belum pulih sepenuhnya. Saya belum boleh menarik nafas dalam. Menurut doktor, ia mungkin ambil masa tiga bulan hingga setahun untuk pulih.
“Dulu saya aktif bersukan seperti bermain futsal, takraw atau badminton, tetapi sekarang doktor hanya galakkan saya berjalan,” katanya yang mula merokok sejak berusia 17 tahun.
Tambah Aidelhan, dia mula sedar bahawa merokok bukan sekadar membahayakan kesihatan malah ia juga satu pembaziran.
“Sebelum ini saya memang ada niat nak berhenti merokok. Tapi ia sekadar niat, justeru saya anggap apa yang berlaku ada hikmah kerana jika tidak sakit, mungkin saya tak berhenti merokok.
“Sekarang apabila dah tinggalkan rokok, baru saya sedar hampir RM400 saya bazirkan setiap bulan untuk beli rokok. Kalau jumlah itu diberi kepada ibu bapa kan lebih baik,” katanya.
Aidelhan turut dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya bahawa paru-parunya boleh hancur sekiranya dia tidak berhenti merokok.
“Sudah sebulan saya berhenti merokok. Saya faham memang susah nak berhenti kerana saya sendiri mengalami pening-pening dan lemah badan pada minggu pertama.
“Masuk minggu kedua dan ketiga, saya mula biasakan diri tanpa rokok. Mula-mula memang susah. Kalau tak boleh berhenti terus, mulakan dengan kurangkan merokok,” katanya.-hmetro
EmoticonEmoticon